Press "Enter" to skip to content

RESOLUSI PENGUKUHAN TULISAN JAWI

PERNYATAAN DAN RESOLUSI PERSIDANGAN MEJA BULAT MEMARTABATKAN TULISAN JAWI YANG DIADAKAN PADA 18.02.2020 DI BILIK MESYUARAT UTAMA AKADEMI PENGAJIAN ISLAM UNIVERSITI MALAYA ANJURAN MAJLIS DAKWAH NEGARA (MDN).

  1. Pernyataan:
    Bahawa kami, yang terdiri dari wakil-wakil Jabatan Kerajaan, badan separuh Kerajaan, pertubuhan sukarela dan orang perseorang dari seluruh Malaysia yang berkait dengan Melayu dan Islam, dan berkepentingan dalam usaha memartabatkan tulisan Jawi, yang bersidang pada hari ini, Selasa 18 Feb.2020 Masihi , bersamaan 24 Jamadil Akhir 1441 Hijri di Bilik Mesyuarat Utama Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dengan ini membuat pernyataan:
    a. Menyokong sepenuhnya inisiatif Majlis Dakwah Negara (MDN) memulakan gerakan “Memartabatkan Semula Tulasian Jawi” dengan matlamat untuk mengembalikan semula kedudukannya sebagai tulisan asal Bahasa Melayu disamping menghormati kedudukan yang telah dicapai oleh tulisan Rumi sebagai tulisan rasmi bagi bahasa tersebut dalam urusan rasmi negara.
    b. Menyeru seluruh rakyat Negara ini agar menyokong sepenuhnya gerakan ini sebagai suatu kewajipan yang perlu ditunaikan dalam usaha membina tamadun bangsa dan negara dalam kerangka pembinaan Negara Bangsa bagi sebuah Malaysia yang maju.
    c. Mengakui bahawa usaha memartabatkan Jawi ini perlu didukung oleh semua pihak di negara ini. Namun orang Melayu dan umat Islam adalah bertanggungjawab besar dalam usaha memartabatkan semula Jawi di persada bahasa negara.
    d. Menyokong usaha-usaha Kerajaan Kelantan, Terengganu dan Pahang dalam memperkasa tulisan Jawi dalam pentadbiran negeri masing-masing, dan menyeru kerajaan negeri-negeri lain untuk turut serta melaksanakannya.
    e. Menyeru seluruh rakyat negara ini, terutama Bangsa Melayu agar kembali semula menggunakan tulisan Jawi dalam kehidupan harian mereka mengikut kemampuan masing-masing, di samping mengekalkan kedudukan tulisan rumi ditempatnya yang sedia ada, dengan harapan untuk mencapai matlamat dwi tulisan bagi Bahasa Melayu sebagaimana pada zaman sebelum dan dalam peringkat awal selepas merdeka.
    f. Menyeru kerajaan menyokong dan mengembalikan kedudukan tulisan Jawi secara terancang dan tegas agar membaiki kesilapan perhitungan pada masa lalu sehingga menyebabkan tulisan Jawi tersingkir dari persada ibundanya sendiri disebabkan oleh keputusan-keputusan yang dibuat oleh kerajaan sendiri.
    g. Menggesa kerajaan mengubah semula keputusan-keputusan yang sebelum ini dilihat sebagai benar-benar meletakkan tulisan Jawi pada suatu tempat yang tidak sejajar dengan kedudukannya sebagai tulisan asal bagi Bahasa Melayu.
    h. Menggesa kerajaan agar memberi sokongan moral dan material kepada mana-mana pihak yang sanggup berusaha mengembalikan semula tulisan Jawi kepada kedudukannya yang asal sebelum ia disingkir dari kedudukannya sebagai warisan ummah yang dihayati sebagai budaya hidup masyarakat yang dinamis.
    i. Menyokong kuat penubuhan Sekretariat tetap pemerkasaan tulisan jawi yang diinisiatifkan oleh Majlis Dakwah Negara (MDN) dan gerakan pembasmian buta jawi yang merupakan agenda jangka pendeknya yang utama. Begitu juga agenda jangka panjangnya untuk mengembalikan semula kedudukan tulisan jawi sebagai salah satu dari dua tulisan Bahasa Melayu yang bergerak selaras dan selari dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara seperti sedia kala.
    j. Menyokong penuh penggunaan kaedah pendidikan, termasuk pendidikan awam dalam mencapai objektif di atas dan menjauhkan diri daripada menggunakan apa-apa bentuk paksaan kecuali bagi melaksanakan kehendak perlembagaan negara dan undang-undang yang diadakan khusus bagi tujuan berkenaan sahaja.
  2. RESOLUSI
    “Mengambil kira kedudukan tulisan Jawi sebagai sebahagian yang tidak terpisah daripada Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan bagi negara ini maka kedudukannya sebagai tulisan yang diwarisi sejak turun menurun dalam negara ini perlu dihormati oleh semua pihak. Walau bagaimana pun isu penghormatan terhadapnya tidak boleh dijadikan sebagai agenda politik oleh mana-mana pihak, sama ada yang menyokong atau menentangnya. Sebaliknya ia perlu dilihat sebagai isu sosial dan budaya yang perlu ditangani dengan cermat oleh para pemimpin masyarakat dan budayawan dalam semua peringkat. Namun sebagai warisan asal bangsa Melayu dan Umat Islam di negara ini maka merekalah yang perlu mengambil tanggungjawab memartabatkan semula tulisan berkenaan di kalangan mereka sendiri tanpa mempersoalkan orang lain berhubung dengan kedudukannya”.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *