Press "Enter" to skip to content

MDN akan bentuk Jawatankuasa Pengukuhan Tulisan Jawi

Majlis Dakwah Negara dalam satu pertemuan pada 20 Januari lepas, telah bersepakat bekerjasama dengan 22 institusi kerajaan, separuh kerajaan, universiti, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama mengukuhkan tulisan jawi di dalam masyarakat.

Pengerusi MDN Dato Prof Emeritus Mahmood Zuhdi Ab Majid berkata, menerusi persidangan meja bulat yang diadakan pertama kali itu bermatlamat untuk mendengar hasrat masyarakat mengenai kepentingan tulisan jawi.

“Matlamat utama persidangan adalah untuk mendengar hasrat masyarakat apa yang mereka mahu daripada tulisan Jawi, atau adakah ia sekadar ribut dalam cawan demi mendapatkan keuntungan politik oleh pengadu domba,” katanya.

Dalam mesyuarat pertama diadakan itu, wakil yang hadir bersetuju membentuk satu jawatankuasa pemandu bagi merancang penubuhan sekretariat tetap bermatlamat memperkukuh kedudukan tulisan Jawi di negara ini.

“Kita setuju masalah tulisan Jawi adalah masalah orang Melayu dan Islam, bukan perlu dikongsi dengan orang lain. Jadi orang Melayu sendiri yang perlu selesaikannya.

“Ia bukan soal tulisan Jawi dijamin dalam Perlembagaan, tetapi isu sebenar adalah orang Melayu sendiri tidak menggunakan warisan mereka ini hingga ia dibiar terbengkalai begitu saja.

“Disebabkan itu, persidangan meja bulat ini tidak membabitkan wakil kaum lain. Namun, kita harap kaum lain khususnya Cina dan India membuat perkara sama dengan MDN untuk membincangkan isu ini dalam kalangan mereka, sebelum kita menyelesaikannya secara bersama,” katanya.

Peranan utama pihak yang berkepentingan untuk mengadakan kerjasama itu adalah tujuan mengumpul dana bagi mengerakkan usaha bersepadu ke arah memperkukuhkan tulisan jawi dalam masyarakat Islam.

Selain memberi kefahaman kepada masyarakat bukan Islam mengenai tulisan jawi itu sebagai salah satu bentuk tulisan daripada bahasa Arab yang seharusnya dipelajari seperti mempelajari bahasa lain tanpa ada prejudis.

Dalam pertemuan itu antara agensi yang turut menghantar wakil dari Kementerian Kesenian Dan Kebudayaan Malaysia (Motac); Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM); Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim);Yayasan Taqwa; Pondok Perdana; Pusat Pungutan Zakat (PPZ); Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWIP); Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA); Universiti Sains Islam Malaysia(Usim) dan; GISB Holdings.

Turut hadir dalam mesyuarat itu Setiausaha Agung Dr Mohd Fauzi Shaffie dan Setiausaha Kerja MDN Noralizatul Azua Rusli.

3 Comments

  1. Hazreen Izua January 24, 2020

    Salam,
    Boleh saya tahu jika nak menyumbang kepada dana pemulihan tulisan jawi, cek perlu ditulis atas nama siapa?

    • Alida Ismail Post author | February 10, 2020

      Waalaikum salam. Puan boleh menghubungi SU Kerja MDN Puan Azua 017-2349960 untuk tujuan menyumbang bagi tujuan gerak kerja pengukuhan tulisan jawi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *