Dewan Wanita Majlis Dakwah Negara (MDN) merancang untuk melatih seramai 500 pendakwah di seluruh negara.
Menerusi Program Dakwah Kreatif, buat pertama kalinya Dewan Wanita dengan kerjasama Yayasan Wibawa Prima (YWP) menghimpunkan seramai lebih kurang 80 peserta untuk mendengar taklimat mengenai penguasaan kemahiran asas komunikasi menerusi kaedah Freehand Visuallization Skill (FVS).
Teknik FVS ini diperkenalkan buat pertama kalinya di bawah Dewan Wanita dengan YWP yang diadakan di Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar pada 19 Oktober lepas.
Pengerusi Dewan Wanita Dato Hajjah Kamilia Dato Ibrahim berkata, sudah tiba masanya pendakwah-pendakwah di seluruh negara mengubah teknik pengajaran bagi tujuan penyampaian yang lebih efektif di khalayak di masa depan.
” MDN menjangkakan menerusi usaha dilakukan Dewan Wanita ini, mungkin kita dapat menyasarkan 20 pendakwah kreatif mewakili setiap negeri untuk mencapai hasrat 500 pendakwah kreatif seluruh negara dapat dilahirkan pada masa depan.
” Ia bukan satu perkara yang mudah buat MDN jika tiada keinginan di kalangan pendakwah untuk menerokai teknik baharu komunikasi bagi tujuan dakwah yang lebih berkesan dan memenuhi matlamatnya kepada masyarakat,” ujar beliau.
Katanya lagi, MDN mengalu-alukan sumbangan syarikat korporat yang mahu menaja pendakwah-pendakwah bagi Program Dakwah Kreatif di bawah MDN yang menggunakan teknik kemahiran FVS ini.
” Dewan Wanita MDN amat berbesar hati sekiranya ada syarikat korporat yang berminat untuk menjalankan kerja dakwah dan menaja Program Dakwah Kreatif ini bagi memenuhi matlamat mewujudkan 500 pendakwah kreatif di masa depan,” ujarnya lagi.
Pengasas FVS Drawzania.com Dr Ruzaimi Mat Rani berkata, teknik FVS ini sangat penting dipraktikkan di kalangan tenaga pengajar merangkumi pendakwah, guru, majikan dan ibu bapa.
Program Dakwah Kreatif yang dicadangkan Dewan Wanita MDN dan YWP dengan usahasama Drawzania.com ini merupakan inisatif untuk membantu umat Islam agar dapat menguasai kemahiran asas komunikasi abad ke-21.
Kata Dr Ruzaimi umat Islam lemah dari segi komunikasi yang masih lagi mengamalkan teknik konvensional dalam menyampaikan maklumat kepada umum.
“Ramai orang mempunyai ide tetapi mereka gagal menyampaikan ide kerana kelemahan dari segi komunikasi yang efektif.
“Menerusi teknik FVS ini idea-idea bernas mereka akan dapat dizahirkan berbanding sekadar meniru ide orang lain atau streotype,” ujarnya.
Melalui teknik FVS ini pendakwah akan dilatih mengunakan kemahiran berfikir aras tinggi ketika menyampaikan dakwah kepada khalayak.
Salah seorang peserta yang ditemui Norshidah Abdul Talib yang mempunyai anak autisme berkata, teknik FVS ini didapati sesuai untuk mengajar anaknya yang menghidapi autisme.
“Saya dapat tahu mengenai program Dakwah Kreatif daripada grup whataspps ibubapa. Saya dapati ia sesuai untuk saya mengajar anak yang menghidapi autisme kerana saya dapati ia mudah untuk mengajar terutama untuk menyiapkan kerja sekolah anak,” ujarnya.
Pengusaha tadika dan kelas dewasa al-Quran dari Gombak, Mohd Isa Maarof pula berpendapat program ini sangat baik dan diperlukan dikalangan pendidik dan pendakwah dalam kerjaya mereka.
“Keperluan komunikasi secara FVS ini sangat diperlukan dan ia perlu disebarluaskan. Saya fikir ia juga sesuai untuk saya gunakan dalam pengajaran di tadika,” ujarnya.
Sesiapa yang berminat untuk mengikuti atau menaja Program Dakwah Kreatif boleh menghubungi Sekretriat MDN Puan Azua ditalian 017-2349960 atau email kepada : [email protected]
Be First to Comment