Oleh: Mahmood Zuhdi
Dari segi politik dan pentadbiran kerajaan era sekarang disebut sebagai era reformasi. Sehubungan dengan ini kita boleh bahagikan pemerintahan Malaysia sejak merdeka sampai sekarang kepada tiga order: pertama order lama iaitu di sepanjang pemerintahan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abd Rahman Putra al-Hajj. Keduanya order baru yang bermula dengan pemerintahan Tun Abd Razak, berterusan di bawah pemerintahan Tun Hussein Onn, berpanjangan di bawah pemerintahan Tun Mahathir(i), kemudian di bawah pemerintahan Tun Abdullah Badawi, dan berakhir pada zaman pemerintahan DS Mohd Najib. Ketiganya ialah order reformasi yang bermula dengan pemerintahan Tun Mahathir(ii) dan belum jelas bila akan berakhir.
Reformasi bermaksud perubahan secara drastik dan menyeluruh. Atau katakan saja, revolusi. Sedangkan di bawah order lama perubahan yang dilakukan bersifat evolusi, iaitu memberi ruang agar segala-galanya berubah sendiri mengikut teori sunnah alam. Sementara di bawah order baru pula metode yang dipilih ialah transformasi, iaitu campur tangan terhad dengan cara menyediakan infrastruktur ke arah perubahan .
Kesemua metode di atas adalah bagus. Cuma setiap satu daripadanya ada baik dan buruk yang tersendiri. Dasar tolak ansur di bawah order lama memberi peluang kepada Bumiputera berkembang tanpa sensitif. Tetapi jurang antara mereka dan kaum bukan Bumiputera tetap tidak berubah. Malah pada pandangan sesetengah orang, ianya makin bertambah. Sehingga dikatakan maksud dari tolak ansur sebenarnya ialah kita tolak dan mereka ansur. Maksudnya mereka ambil beransur-ansur. Dasar inilah yang menjadi sebab utama kepada peristiwa berdarah 13 Mei kerana ia telah melahirkan kerakusan dikalangan kaum bukan Bumiputera dan kekecewaan di kalangan Bumiputera.
Di bawah order baru kerajaan melakukan lebih banyak campur tangan. Sebagai contoh, penyata Razak, Dasar Ekonomi Baru, penswastaan dan sebagainya. Satu kata-kata hikmah yang boleh dinukil ialah apa yang disebut oleh Prof D’Raja Ungku Aziz tentang keperluan Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya, “kerana kita bermain bola di padang tidak rata”. Dengan dasar seperti di atas banyak kejayaan yang telah dicapai, terutama di zaman Tun Abd Razak. Namun kaum bukan Bumiptera pula yang tidak berpuas hati, lalu timbul rasa iri hati yang menyuluruh dan mendalam. Mereka mula mengganggu kestabilan dasar tersebut bermula di pertengahan zaman Tun Mahathir(i) sehinggalah ke zaman DS Najib Razak. Gangguan inilah yang menjadi sebab utama kepada tamatnya era order baru dengan tumbangnya Kerajaan Perikatan/ Barisan Nasional yang gah berdiri selama 60 tahun, iaitu sejak merdeka sampailah bulan Mei 2018.
Contoh yang konkrit daripada era order reformasi belum dapat ditunjuk. Kerana era ini baru berumur setahun. Namun secara akademiknya boleh dibayangkan. Antaranya perubahan status quo secara drastik seperti mana yang sedang berlaku sekarang. Nampaknya ia akan melibatkan perubahan dari atas dulu, iaitu kedudukan parlimen dalam konsepnya yang luas, kedudukan Perdana menteri, undang-undang, dasar, polisi dan seterusnya. Semuanya berlandaskan bahawa padang bola sudah rata dan mari kita bermain dengan lebih sempurna.
Ibarat kata, kalau sekiranya Malaysia merdeka itu sebuah rumah ia sudah sampai keperingkat menjadi buruk dan telah diputuskan melalui pilihanraya Mei lepas tidak akan dikekalkan sebagai rumah warisan. Sebaliknya ia perlu diruntuhkan dan sebuah rumah baru akan didirikan. Itulah kira-kira maksud Malaysia Baharu.
Sekarang tiada lagi rumah lama di mana ada berbagai keistimewaan dan sekatan di dalamnya yang diwarisi sejak dari zaman sebelum merdeka lagi. Sekarang rumah baru sedang dibina. Pelannya sudah agak jelas walau pun masih dalam peringkat lukisan.
Sementara menunggu rumah itu siap setiap orang boleh berebut tempat duduk, tempat makan, tempat tidur dan malah tempat membuang sekalipun. Apabila rumah baru itu siap nanti kita boleh berebut lagi untuk masing-masing mencari ruang yang dia suka atau mampu dan semakin sempit dari dulu. Itulah meritokrasi namanya. Apa yang tidak boleh direbut ialah kekandi wang masing-masing. Kerana wang di dalamnya sudah menjadi milik peribadi sepenuhnya. Status Quo yang tidak akan terombak ini memberi hak istimewa kekal kepada kaum bukan Bumiputera kerana mereka telah bekerja keras selama ini. Sementara kaum Bumiputera perlu mencari sendiri untuk memenuhkan kekandi masing-masing . Mereka perlu berdikari kerana tongkat telah patah, perlu berenang sendiri kerana perahu telah pecah dan perlu bermain di padang bola yang tidak rata kerana padang itu sudah digazetkan sebagai padang golf, iaitu status quo baru yang tidak boleh diratakan lagi dengan jentera berat tetapi sekadar boleh dengan cangkul sendiri sahaja. Maka tugas utama kaum Bumiputera sekarang ialah mencangkul padang golf yang tidak rata ini dengan membawa kekandi yang masih kempis itu agar kita boleh bermain dengan selesa dan kekandi kita menjadi besar seperti juga kekandi mereka
Penulis, Dato’ Professor Emiritus Dr Mahmood Zuhdi adalah Pengerusi Majlis Dakwah Negara.
Be First to Comment