KENYATAAN MEDIA
Pengisytiharan hari Jumaat sebagai hari penggunaan tulisan Jawi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf adalah satu lengkah positif dari pihak kerajaan untuk memperkasakan dan menyegarkan semula penggunaan tulisan jawi dikalangan masyarakat.
Majlis Dakwah Negara (MDN) berpandangan dengan keputusan kerajaan itu sudah pasti pelaksanaannya kelak akan dapat menyegarkan kembali tulisan asal bahasa Melayu-Islam itu yang sudah mengalami zaman gelap sejak enam dekad lalu kerana berlaku kesilapan perhitungan di kalangan para pemimpin Melayu pada waktu itu.
Bersempena dengan pengisytiharan tersebut MDN berharap satu komitmen yang tinggi akan ditunjukkan oleh pihak kerajaan, khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berlandaskan kepada citra politik yang mendalam di lubuk hati para pemimpin masa kini.
Selain MDN turut menyeru rakyat juga perlu memberi sokongan padu terhadap langkah positif kerajaan ini tanpa mengambil kira pendirian politik disokongi atau pendekatan perjuangan politik parti yang didokongi.
Ini kerana langkah yang memberi keuntungan kepada semua pihak seperti mengambil inisiatif untuk menyegarkan kembali penggunaan tulisan jawi, dikalangan semua rakyat di negara ini perlu dilaksanakan secara bersepadu.
Pelaksanaannya kelak bukan sahaja dengan kata-kata kosong tetapi perlu diiringi dengan tindakan bersama.
Sudah pasti MDN mengharapkan satu mekanisme khusus bagi pelaksanaan tersebut hendaklah dibangunkan agar kita dapat memaksimumkan hasil pencapaian dalam masa paling singkat.
MDN berpandangan tulisan jawi merupakan kunci bagi sebuah gedung ilmu yang sudah sekian lama tertutup rapat.
Tanpa komitmen jitu dilakukan pihak kerajaan terutamanya JAKIM dan sokongan padu daripada semua pihak pengisytiharan hari Jumaat sebagai hari penggunaan tulisan jawi itu hanya diibaratkan seperti debu yang ditabur di atas batuan licin semata mata yang akan ditiup angin.
MDN juga menyeru semua institusi Islam di bawah JAKIM dan seluruh organisasi Islam yang mempunyai kepentingan Melayu dan Islam perlu berdiri teguh di belakang perisytiharan tersebut.
MDN telah pun memberi perhatian serius kepada usaha melestrikan semula tulisan jawi ini dengan menubuhkan sebuah Panel Khas yang melibatkan banyak pihak seperti para pemimpin dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Perpustakaan Negara dan beberapa pertubuhan Media tanahair.
Sokongan kuat juga kami dapati daripada Persatuan Tulisan Jawi dan Persatuan Khat yang mempunyai keanggotaan di seluruh Malaysia.
Berasaskan pengisytiharan tersebut juga kami berharap akan dapat mengadakan berbagai program yang berfaedah dengan kerjasama badan badan kerajaan seperti JAKIM, YADIM, MAWIP . Dewan Bahasa dan Pustaka, Perpustakaan Negara dan sebagainya.
SEKIAN, TERIMA KASIH
MAHMOOD ZUHDI HAJI ABD MAJID
Pengerusi Majlis Dakwah Negara
6 Muharram 1441 / 6 September 2019
Be First to Comment